Hijrah 1426


Blog For Free!


Archives
Home
2005 February

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images


Sponsored
Blog







Khalifah Umar tetapkan tahun baru Islam
02.10.05 (11:47 pm)   [edit]
Khalifah Umar Al-Khattab adalah orang bertanggungjawab menetap dan memilih sebutan atau gelaran hijrah ini. Ia dipilih selepas ditimbang dari pelbagai sudut.

Saidina Umar membuat ketetapan permulaan hijrah atas syor Saidina Ali Abi Thalib yang mencadangkan ia dimulakan daripada hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah dan tidak dari tarikh Baginda lahir atau wafat.

Sesungguhnya, pilihan dan penetapan ini paling tepat dalam menjadikan peristiwa hijrah sebagai titik tolak kalendar umat Islam.

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.

Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad, malah dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah.

Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap Baginda.

Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa.

Nabi Nuh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah saw dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam.

Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah Baginda.

Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah saw mengarahkan pengikut Baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali Yathrib).

Suatu hari pada 622 sebelum Masihi, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah saw diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh Baginda untuk memusnahkan Islam.

Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan Baginda meninggalkan Madinah pada waktu malam.

Berikutan itu, Baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani Baginda dalam perjalanan berkenaan.

Rasulullah saw juga memberitahu rancangan Baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur Baginda.

Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah saw dengan niat mahu membunuh Baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah saw.

Mereka begitu yakin bahawa Rasulullah saw tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh Baginda.

Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan.

Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah saw keluar dari rumah berkenaan.

Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh Baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu.

Rasulullah saw dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian Baginda kecuali Aishah dan Asma' serta orang gaji mereka, Abdullah.

Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar."

Selepas itu, Baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan Baginda ke sana pada 27 Safar.

Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraisy masih mahu membunuh Baginda.

Mereka menghampiri gua berkenaan, tetapi gagal menemui Rasulullah saw di situ.

Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan.

Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah saw dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.

Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah saw. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Baginda. Ramai yang mencuba nasib, tetapi semuanya gagal.

Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah saw dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan Baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah saw dan sahabat akhirnya merasakan bakal menemui kejayaan.

Ketika Rasulullah saw dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita gembira mengenai kedatangan Baginda.

Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah saw.

Maka, pada Jumaat, Rasulullah saw akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan Baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiulawal.


Sumber: Berita Harian Online